.: SELAMAT DATANG :.


Images

THAYYIB RAZALI (Keperluan untuk pelbagai Kaedah Komunikasi)

Keperluan untuk Pelbagai Kaedah Komunikasi 
(Punca dan Kategori Kehilangan Pendengaran )

        Dalam bidang perubatan dan pendidikan, murid-murid bermasalah pendengaran dikategorikan mengikut tahap kehilangan pendengaran masing-masing. Ukuran kehilangan pendengaran ditentukan mengikut keupayaan individu mendengar kekuatan bunyi yang berdasarkan unit desibel ( Williams, 1991 ). Di Malaysia, kategori untuk bermasalah pendengaran menggunakan tahap ukuran kehilangan pendengaran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ( HUKM).

      Bagi individu yang mengalami kehilangan pendengaran di bawah 70 dB adalah dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran konduktif. Masalah ini berlaku disebabkan oleh gangguan, halangan atau pun kerosakan pada bahagian telinga luar dan telinga tengah sahaja. Bahagian telinga dalam pula masih berfungsi dengan baik serta dapat menghantar bunyi melalui saraf pendengaran ke otak. Kemudian getaran yang diterima terus merangsang cecair yang terdapat di dalam telinga dalam tanpa melalui telinga luar dan tengah. Kehilangan pendengaran konduktif dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran ringan dan sederhana kerana masih boleh mendengar sebahagian bunyi-bunyi pertuturan dan suara sendiri serta orang lain melalui tulang mastoid.

       Tahap kehilangan pendengaran konduktif yang dihidapi oleh kanak-kanak akan mengalami tahap kehilangan pendengaran dalam kategori biasa (kurang 20 dB)  iaitu darjah kehilangan pendengaran masih normal dan boleh mendengar semua bunyi. Manakala, ringan (21 – 45 dB) iaitu kesukaran untuk mendengar bunyi yang perlahan atau terlalu jauh. Seterusnya, sederhana (46 – 70 dB) iaitu boleh mendengar bunyi dalam lingkungan 1 hingga 1.5 meter. Sekiranya hendak berhubung dengan kanak-kanak di tahap ini perlulah bercakap dengan suara kuat. Kemungkinan kanak-kanak ini tidak sempurna pertuturannya kerana pengalaman mereka mendengar adalah terhad.

         Punca berlakunya masalah pendengaran ini kerana halangan di dalam saluran telinga luar akibat daripada pengumpulan tahi telinga (serumin) yang terlalu banyak atau sekatan benda asing. Hal ini juga terjadi apabila kemalangan yang mengakibatkan kerosakan pada gegendang telinga akibat tekanan yang terlalu kuat seperti bunyi letupan dan juga jolokan benda tajam atau keras pada gegendang. Manakala, ketumbuhan tetulang halus (otosklerosis) pada stapes (struktur di bahagian telinga tengah). Kehilangan pendengaran berlaku kerana tulang stapes yang melekat pada jendela bujur tidak dapat digerakkan kerana berlakunya ketumbuhan tetulang di sekelilingnya.
Oleh yang demikian, faktor jangkitan turut mempengaruhi masalah pendengaran konduktif iaitu jangkitan kronik yang berlaku terhadap lapisan kulit telinga luar atau dalam telinga yang dikenali sebagai Otitis External dan Otitis Media. Otitis External berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria yang dinamakan “swimmers ear” yang biasa berlaku pada para perenang kerana kekerapan air terperangkap di dalam salur telinga. Manakala, otitis media merupakan infeksi di bahagian membran mukus telinga tengah. Penyakit ini biasanya mempunyai kaitan dengan penyakit seperti koriza, campak, demam dan batuk kokol. Tanda-tanda penyakit ini ialah sakit di bahagian telinga secara tiba-tiba dan demam panas. Kepekakan boleh terjadi sekiranya penyakit ini menyerang kedua-dua belah telinga dan jika lambat diberi rawatan keadaan akan bertambah teruk.

    Seterusnya, kehilangan pendengaran 71 dB hingga 90 dB dikategorikan sebagai mengalami kehilangan pendengaran teruk (severe) dan kehilangan pendengaran 91dB keatas dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran yang sangat teruk   (profound). Kategori kehilangan pendengaran bagi kedua-dua ini dikatakan sebagai mengalami kehilangan pendengaran sensori neural atau pekak saraf. Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran di tahap ini akan ditempatkan di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran. Punca kehilangan pendengaran ini disebabkan oleh kerosakan yang berlaku di bahagian telinga dalam dan saraf pendengaran iaitu merujuk kepada kerosakan yang berlaku pada sensori yang melibatkan koklea atau saraf yang menjadi laluan ke otak. Masalah pendengaran jenis ini boleh berlaku dan berpunca sebelum kelahiran iaitu semasa janin berada di dalam kandungan ibu dan juga selepas kelahiran.
Pelbagai punca yang mengakibatkan berlakunya masalah pendengaran sensori neural iaitu jangkitan virus atau bakteria pada bayi. Contohnya ibu menghidapi rubella, sekiranya ibu mengandung menghidapi penyakit ini akan mengakibatkan anak di dalam kandungan menghadapi masalah dan juga boleh mengalami pelbagai lagi masalah lain seperti masalah pembelajaran, penglihatan dan ketidakupayaan yang lain. Jangkitan virus oleh penyakit kelamin seperti herpes simplex, gonorhea dan siplis yang dialami oleh ibu bapa juga akan mengakibatkan bayi mengalami masalah pendengaran ini.

    Selain itu, faktor semasa kelahiran iaitu bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan juga mengalami kecenderungan untuk mengalami masalah pendengaran. Selain itu, masa lahir yang terlalu lama juga merupakan salah satu punca kehilangan pendengaran kerana ibu mengalami kesukaran untuk melahirkan anak menyebabkan tekanan pada telinga bayi. Kecederaan semasa kelahiran pada bahagian telinga juga akan menyebabkan bayi mengalami masalah pendengaran. Kemalangan yang mencederakan bahagian telinga semasa merawat bayi juga menyebabkan bayi mengalami masalah pendengaran dan sekiranya bayi terdedah kepada bunyi yang terlalu kuat dalam jangka masa yang lama juga menyebabkan kerosakan pada bahagian telingan bayi. Latar belakang ibu bapa yang mempunyai masalah pendengaran, berkemungkinan anak-anaknya mengalami masalah yang sama kerana disebabkan faktor keturunan. Hal ini demikian kerana, ibu bapa yang membawa gen dominan (pekak) maka risiko untuk mempunyai anak bermasalah pendengaran sensori neural ialah 50 peratus manakala pembawa gen resesif berisiko sebanyak 25 peratus.

      Tambahan lagi, selain masalah pendengaran sensori neural dan konduktif, masalah pendengaran bercampur juga dikategorikan sebagai masalah pendengaran. Masalah pendengaran bercampur ialah masalah pendengaran yang melibatkan kehilangan pendengaran konduktif dan sensori neural. Punca berlakunya masalah pendengaran bercampur ini disebabkan oleh hasil kedua-dua faktor iaitu kerosakan yang berlaku dalam masalah pendengaran konduktif dan sensori neural.


0 comments: